Hard Rock Cafe Putrajaya dibantah

by

Share on FacebookTweet about this on TwitterEmail this to someoneShare on Google+

Hard Rock Cafe Putrajaya dibantah
Oleh THOMAS CHONG dan NAWWAR ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Pembukaan Restoran Hard Rock Cafe di Putrajaya mendapat tentangan daripada pelbagai pihak kerana disifatkan tidak bersesuaian dengan imej bandar tersebut sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Chedet, Syed Hassan Syed Ali, restoran tersebut tidak seharusnya dibenarkan beroperasi di kawasan tersebut berikutan lebih 95 peratus penduduknya merupakan umat Islam.

“Putrajaya adalah pusat pentadbiran negara bukan tempat hiburan. Bandar raya ini juga adalah bandar raya Islam contoh kerana hampir kesemua bangunannya bercirikan kesenian Islam,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Syed Hassan, pembukaan restoran tersebut juga jelas bertentangan dengan hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ingin menjadikan Putrajaya sebagai kota pentadbiran negara Islam atau ‘kota Firdaus’.

“Kami bimbang jika dibiarkan, perkara ini akan membuka jalan kepada premis hiburan lain untuk bertapak di Putrajaya, justeru akan menimbulkan lebih banyak persoalan tentang bukti negara ini sebagai sebuah negara Islam,” ujarnya.

Akhbar hari ini melaporkan tentang cadangan pelabur Hard Rock Cafe di Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir Syed Yusof untuk membuka sebuah lagi cawangan restoran seumpama itu di Putrajaya selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.

Hard Rock Cafe Putrajaya dijangka dibuka secepat mungkin iaitu antara tempoh tiga hingga empat bulan pada tahun ini.

Yang Dipertua Perkasa Wilayah Persekutuan, Datuk Yusof Hamid juga meminta pihak berkuasa menarik semula kelulusan yang diberikan kepada restoran tersebut untuk beroperasi di Putrajaya.

“Kita kenali Hard Rock Cafe sebagai sebuah restoran tempat berhibur tanpa batasan dengan minuman keras serta muzik bingit menjadi tarikan dan kami tidak nampak siapa lagi selain umat Islam yang bakal menjadi pelanggan sasarannya.

“Kalau ini terjadi apalah gunanya kita bina Putrajaya untuk menjadi pusat pentadbiran dan bukan tempat perniagaan atau hiburan pada awalnya. Adalah lebih baik kekalkan sahaja pentadbiran negara di Kuala Lumpur jika premis begini dibenarkan bertapak di Putrajaya,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati penduduk dan pengunjung di Putrajaya rata-rata tidak bersetuju dengan pembukaan Hard Rock Cafe di kawasan tersebut.

Penduduk juga turut menyuarakan rasa kurang senang mereka dengan kedudukan Hard Rock Cafe Putrajaya di Menara Ikhlas, Presint 3 yang berdekatan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pegawai kerajaan, Zazoraina Mohd. Noor, 30, berkata, Hard Rock Cafe tidak wajar dibuka di Putrajaya yang merupakan tempat orang ramai berurusan dengan pelbagai jabatan Kerajaan Persekutuan.

“Putrajaya mempunyai imej tersendiri sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di mana ramai orang datang berurusan di sini.

“Pembukaan Hard Rock Cafe tidak selari dengan imej Putrajaya yang terbina selama ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pengunjung dari Sepang, Roziah Yatim, 48, berkata, Hard Rock Cafe lebih sesuai dibuka di Cyberjaya dengan mengambil kira demografi penduduk bandar itu yang menempatkan ramai ekspatriat dan pelajar asing.

“Saya melihat ia lebih sesuai dibuka di Cyberjaya berbanding Putrajaya, pembukaan Hard Rock Cafe tidak sesuai dengan imej Putrajaya,” katanya.

Pekerja swasta, Mohd. Fazri Tun Wahab, 40, berkata, pembukaan Hard Rock Cafe mempunyai kebaikannya tetapi ia tidak sesuai dibuka di Putrajaya kerana bertentangan dengan imej bandar ini.

“Kelebihannya ialah ia mungkin dapat menarik kedatangan pelancong, tetapi ia mungkin tidak sesuai dibuka di Putrajaya,” katanya.

Seorang mahasiswa, Norashikin Abdul Rahman, 19, juga tidak bersetuju dengan pembukaan Hard Rock Cafe di Putrajaya terutamanya kerana lokasinya yang dekat dengan tempat beribadat.

“Saya tidak setuju kerana tempatnya dekat dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga terletak di Presint 3,” katanya.

Artikel bertarikh 6 Januari 2014
© Utusan Melayu (M) Bhd