Jaga cucu: Ia bukan pilihan saya tapi…

by

Share on FacebookTweet about this on TwitterEmail this to someoneShare on Google+

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak berkelakuan seperti kebanyakan lelaki berusia 91 tahun yang menghabiskan masa dengan cucu.

Sebaliknya, beliau memilih untuk terus lantang mengkritik kerajaan demi menyahut rayuan rakyat.

“Ada sesetengah orang meluat kerana lelaki berumur lebih 90 tahun tidak melakukan perkara sepatutnya seperti berehat, bermain dengan cucu dan menyediakan diri sebelum mati. Ya, saya tidak melakukan perkara sedemikian.

“Ia bukan pilihan saya. Saya menyahut rayuan pelbagai kumpulan rakyat Malaysia kepada saya untuk melakukan sesuatu,” katanya dalam tulisan di blognya, kelmarin.

Kelmarin, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, zaman Mahathir sudah berlalu dan beliau menasihatkan agar balik menjaga cucu.

Menurut Mahathir, beliau berasakan perlu untuk menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada terus merosakkan negara.

“Negara ini kehilangan banyak wang. Saya memaklumkan kepada Najib, saya tidak dapat menyokongnya lagi.

“Kemudian, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan daripada Umno. Sekarang ia bukan lagi tentang orang ramai mahu saya melakukan sesuatu.

“Sekarang saya rasa ada keperluan untuk menghalang Najib daripada terus merosakkan  negara ini,” katanya.

Beliau berkata, sukar untuknya sekadar duduk diam dan bermain dengan cucu dalam keadaan sekarang.

“Ya, saya sedang melakukan persiapan untuk akhirat tetapi syukur Alhamdulillah, saya masih ada masa untuk melakukan perkara lain.

“Perkara lain yang saya boleh lakukan ialah memberi sedikit idea untuk menghalang negara ini terus dimusnahkan Najib,” katanya.

SINAR HARIAN