JAIS Tidak Sepatutnya Serbu Majlis Perkahwinan Di Kuil Hindu

by

Share on FacebookTweet about this on TwitterEmail this to someoneShare on Google+

GOMBAK, 4 Jun (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad Rabu berkata sebagai pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memang berhak menyiasat agama seseorang, tetapi tidak sepatutnya membuat serbuan pada majlis perkahwinan individu terbabit.

Sejajar dengan itu, bekas perdana menteri itu menyarankan JAIS merujuk kepada al-Quran kerana dalam kitab suci itu terdapat banyak larangan berhubung tindakan terhadap seseorang yang tidak mengaku beragama Islam.

“Kamu (JAIS) boleh menyiasat, tapi tidak boleh menghalang orang berkahwin. Apabila kamu menghormati agama orang lain, orang agama lain juga akan menghormati kamu.

“Saya ingin mencadangkan supaya mereka (JAIS) kembali kepada al-Quran dan tidak membuat tafsiran sendiri (mengenai ayat al-Quran),” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Contemporary Islamic Lifestyle: Fitting In or Taking the Lead’ dalam Siri Syarahan Perdana Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai tindakan JAIS menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, Selangor Ahad lepas.

JAIS mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata JAIS sedia membantu wanita berkenaan menyelesaikan masalah status agamanya setelah dia dikatakan tidak pernah mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam.

Abdul Khalid berkata, wanita tersebut disahkan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

“JAIS telah memaklumkan bahawa siasatan awal menunjukkan wanita yang terlibat telah didaftarkan atas nama Islam oleh bapanya atas faktor-faktor peribadi tetapi tidak pernah mengamalkan cara hidup dan ajaran Islam.

“Setelah berbincang secara teliti isu tersebut, JAIS menyatakan kesediaan membantu wanita berkenaan menyelesaikan masalah status agamanya,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, JAIS membuat serbuan ke atas kuil berkenaan sebelum menahan pengantin wanita terbabit susulan menerima aduan orang awam yang mendakwa wanita itu beragama Islam.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan membuka peluang kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mentadbir dan menguruskan semula Hotel Quality Shah Alam.

“Bagi kakitangan hotel, kita akan cuba mencari peluang (kerja) kepada mereka di beberapa tempat di sini (di agensi kerajaan negeri),” katanya.

Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad pada awal bulan lalu mengumumkan penutupan hotel itu bermula Ahad lepas sekaligus menamatkan perkhidmatan 105 kakitangannya.

KPS, anak syarikat kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), menyatakan penutupan itu dibuat kerana hotel tersebut mengalami kerugian besar.

–BERNAMA