Kekalahan Mukhriz Bukan Kerana Kepimpinannya Ditolak Ahli Umno

by

Share on FacebookTweet about this on TwitterEmail this to someoneShare on Google+

YAN: Kekalahan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu Sabtu lepas, bukan kerana kepimpinannya ditolak anggota parti itu.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata keputusan minggu lepas menunjukkan semua anggota parti menerima baik kepimpinan Mukhriz kerana “peluang itu akan diperoleh satu hari nanti”. “Tidak betul Umno tidak menerima beliau.

“Keputusan minggu lepas sudah tunjukkan kepimpinan beliau diterima baik bukan saja di Kedah malah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Wanita Umno di Taman Mahsuri di Sungai Limau Dalam dekat sini, Selasa.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kekalahan Mukhriz dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno adalah kerana ditolak ahli parti itu.

Shahrizat berkata berkata Wanita Umno menerima Mukhriz dengan hati terbuka selaku orang muda yang pertama kali bertanding merebut jawatan itu bersama-sama pemimpin berpengalaman yang lain.

Beliau juga turut menafikan kekalahan Mukhriz mempunyai kaitan dengan ‘Mahathirisme’, malah, katanya, Menteri Besar Kedah itu mempunyai masa depan yang cerah dalam Umno.

“Akan sampai peluang untuk beliau satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Mukhriz sudah membuktikan kemampuannya mendapat sokongan kuat walaupun baru menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden itu, dan ia merupakan satu pengiktirafan buat Mukhriz.

“Saya pasti pimpinan tertinggi parti tidak akan mengetepikan sumbangan dan pandangan beliau. Sebagai Menteri Besar sudah tentu beliau adalah seorang daripada pemimpin besar dalam UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program turun padang di Pekan Simpang Tiga, dekat sini.

“Saudara Azmin yang tidak dipilih sebagai Menteri Besar Selangor, adakah itu bermakna dia ditolak PKR…tak payah lah buat komen yang terlalu berpolitik,” katanya.

Pada pemilihan jawatan Naib Presiden Umno pada Sabtu lepas, Mukhriz mendapat undi daripada 93 bahagian dan sebanyak 57,189 undi dari perwakilan dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan enam penjuru.

Mukhriz memberi persaingan sengit kepada penyandang jawatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menerima undi dari 101 bahagian dan menerima 56,604 undi daripada perwakilan. -BERNAMA