RCI: Tun Mahathir sedia dipanggil

by

Share on FacebookTweet about this on TwitterEmail this to someoneShare on Google+

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia hadir di inkuiri yang ditubuhkan secara sah bagi menjawab sebarang tuduhan terhadap beliau.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan di Facebook.

“Mahathir secara konsisten menyatakan dengan jelas bahawa beliau tiada masalah untuk hadirkan diri di mana-mana mahkamah ataupun inkuiri yang ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang, bagi tujuan menjawab segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap beliau oleh sesiapa sahaja.

“Perlu ditekankan, bahawa Mahathir tidak pernah langsung dipanggil untuk membantu siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK), sejak ia ditubuhkan sehingga kini,” katanya.

Mohamed Haniff merujuk PPK yang ditubuhkan Kabinet pada Februari lalu untuk menyiasat kerugian Bank Negara kira-kira 25 tahun lalu dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Terdahulu, Kabinet bersetuju dengan syor PPK agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kes kerugian urus niaga mata wang asing pada 1980-an dan 1990an.

Sementara itu, Mohamed Haniff berkata, mana-mana pihak yang dituduh perlu diberi peluang dalam prosiding RCI tersebut.

“Mereka perlu dibenarkan melaksanakan hak bela diri dengan menyoal balas saksi-saksi pihak pengadu dan pendakwa.

“Malah, mereka juga mesti dibolehkan menampilkan saksi-saksi serta keterangan dan bukti pihak pembelaan,” katanya.

 

SINAR HARIAN

22 JUN 2017