‘Saya tak mudah lupa’

by

Share on FacebookTweet about this on TwitterEmail this to someoneShare on Google+

ALOR SETAR – Ungkapan ‘Melayu Mudah Lupa’ begitu sinonim dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad namun kebelakangan ini ungkapan itu dijadikan serangan peribadi terhadap beliau oleh kepimpinan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir ketika mengulas sindiran itu yang didakwa memakan dirinya sendiri, secara bersahaja bertegas “Saya bukan Melayu mudah lupa!”.

Pengerusi Bersatu itu berkata, pemimpin Umno yang melupai jasa disumbangkan beliau ketika menerajui negara selama 22 tahun.

“Mereka yang lupa, selama 22 tahun ketika menjadi perdana menteri, saya banyak membantu mereka, ini yang saya dapat?

“Nyatalah yang lupa itu adalah pemimpin Umno, bukan saya,” katanya ketika ditemui di Pekan Rabu bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menurutnya, walaupun dicanang konon beliau sudah nyanyuk atau sudah lupa, beliau tetap tersenyum, dan menyifatkan individu menuduhnya pelupa, mencerminkan sikap mereka sendiri.

“Yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya.

Kebelakangan ini, beberapa pemimpin Umno menyatakan ungkapan yang dipopularkan Mahathir ketika Perhimpunan Agung Umno 2001 itu memakan dirinya sendiri.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mendendangkan puisi ‘Melayu Mudah Lupa’ pada ucapan dasar sayap Perhimpunan Agung Umno lalu.

Khairy menyampaikan puisi itu diubah suai bait-baitnya bagi mengingatkan perwakilan mengenai sikap bekas pemimpin negara itu yang kini menyokong pembangkang.

SINAR HARIAN